Penggunaan
command prompt di dalam sistem operasi Windows sudah menjadi satu
kemestian bagi pekerja IT seperti IT Admin, Juruteknik Komputer dan
lain-lain. Banyak kegunaan lain yang boleh dimanfaatkan melalui command
prompt.
Jika anda tidak pasti sama
ada arahan-arahan tertentu boleh digunakan dalam command prompt atau
tidak, anda boleh menaip sebarang arahan dan diikuti dengan /? untuk mengesahkannya.
Command
prompt biasanya diakses melalui butang Start Windows > Run >
taipkan cmd (pada Windows XP) atau melalui butang Start Windows >
Kotak carian > Taipkan cmd (Windows 7). Bagi pengguna Windows 7 dan
ke atas, adalah dinasihatkan supaya anda memilih ‘Run as administrator’
dengan cara klik kanan pada ikon cmd tersebut.
Berikut adalah antara tools sangat berguna yang boleh digunakan melalui command prompt seperti:
System File Checker
Pada
kebiasaannya Windows boleh mengesan sebarang kehilangan fail sistem dan
menggantikannya secara automatik tanpa pengetahuan pengguna. Namun, ada
masanya berlaku kesilapan dan fail boleh menjadi korup atau tersalah
versi. Hal ini kadangkala Windows pun boleh tersalah pandang hingga
berlaku masalah ketika proses instalasi dan mengganggu rentak kerja
pengguna.
Oleh itu, Windows
menyertakan arahan System File Checker ke dalam command line yang mampu
mengesan ribuan fail-fail asas Windows dan membandingkannya jika berlaku
sebarang ralat pada fail-fail. Jika ada fail yang tidak sepadan,
Windows akan menggantikannya semula dengan fail sistem yang asal.
Untuk menggunakannya, taip sfc pada command prompt dan diikuti dengan jarak (space) dan mana-mana masukan arahan seperti berikut;
- /scannow:
Ia akan memberikan imbasan segera pada sistem anda dan ia akan
menggantikan mana-mana fail yang perlu penggantian. Selepas proses
imbasan selesai, anda diperlukan supaya memulakan semula (restart)
Windows.
- /scanonce: Ia akan memulakan imbasan sebaik sahaja anda memulakan semula sistem komputer anda.
- /scanboot: Ia akan menjadualkan pengimbasan setiap kali anda memulakan semula sistem komputer.
- Revert.
Ia akan mengembalikan semula tetapan System File Checker ke tetapan
asal. Misalnya, fungsi /scanboot boleh dimatikan dengan arahan ini.
Check Disk
Fungsi
ini akan membaiki sebarang ralat sistem, mengesan sektor buruk (bad
sector) dan mendapatkan kembali maklumat yang masih boleh digunakan dari
sektor buruk (bad sector) yang terlibat. Masa yang diperlukan untuk
melakukannya selalunya sangat panjang terutamanya jika melibatkan
keseluruhan cakera keras (hardisk).
Cara
menggunakan fungsi check disk pada command prompt adalah dengan menaip
chkdsk, diikuti dengan jarak dan masukkan antara salah satu pilihan di
bawah;
- Volume. Jika anda inginkan keseluruhan hardisk diimbas, masukkan huruf pemacu (drive) berkenaan.
- Filename. Anda boleh menggunakan chkdsk ini untuk memeriksa satu atau sebilangan fail
- /F. chkdsk akan segera melakukan segala pembetulan
- /R. Ia akan memaksa pilihan chkdsk untuk mencari sektor buruk (bad sector) dan mendapatkan semula maklumat daripadanya. Jika chkdsk
tidak boleh kerana sistem Windows sedang digunakan, ia akan meminta
anda jalankan arahan ini selepas memulakan semula (restart) Windows. Ini
adalah pilihan yang anda akan gunakan untuk imbasan yang paling
menyeluruh kerana ia juga akan melibatkan fungsi /F.
Ipconfig
Fungsi
ini amat berguna bagi anda menguruskan maklumat berkaitan TCP/IP pada
rangkaian. Ia boleh digunakan untuk memeriksa alamat IP komputer,
membuatkan ia melepaskan atau memperbaharui alamat IP dan juga boleh
menyingkirkan cache DNS tempatan (local DNS cache).
Untuk menggunakannya, taipkan ipconfig
pada command prompt dan seterusnya ia akan memaparkan maklumat
berkaitan alamat IP pada setiap adapter rangkaian komputer anda.
Beberapa fungsi tambahan lain boleh diperoleh dengan memasukkan arahan
seperti berikut:
- /all.
Maklumat yang lebih terperinci berkaitan rangkaian akan dipaparkan
termasuk bila alamatnya secara automatik ditetapkan oleh DHCP berserta
maklumat tempoh luputnya.
- /release.
Gunakan pilihan ini untuk melepaskan seluruh alamat IP yang ditetapkan
oleh DHCP. Harus diingat, rangkaian anda akan terputus sebaik sahaja
arahan ini digunakan dan biasanya akan akan memerlukan arahan /renew pada langkah seterusnya.
- /renew.
Pilihan ini digunakan untuk melepaskan dan memperbaharui tetapan alamat
IP yang diberikan melalui DHCP. Ia akan memaksa komputer anda melakukan
penyambungan semula ke server ISP (bergantung kepada setup rangkaian
anda) dan ia sangat berguna di dalam kerja-kerja yang melibatkan
rangkaian.
- /flushdns.
Pilihan ini digunakan untuk menyingkirkan cache DNS tempatan. DNS
adalah sistem penamaan nama domain bagi membantu pengguna melayari
Internet. Setiap komputer dalam Internet mempunyai alamat unik seperti
nombor telefon seperti www.anakaskarpencen.com kepada
alamat IP. Cache nya adalah maklumat DNS yang disimpan di dalam storan
komputer supaya ia tidak lagi perlu mencarinya di dalam server DNS pada
setiap kali.
sumber~anakaskarpencen